KUANTAN - Nama Kuantan yang trending di media sosial beberapa hari lalu selepas disebut dalam sebuah anime Jepun terkenal, Jujutsu Kaisen dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Rabu. Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kerajaan Pahang sedang menghubungi pihak Jepun bagi berhubung dengan penulis siri anime tersebut. Menurutnya, usaha itu dilakukan bagi mengambil kesempatan mempromosikan Kuantan, khususnya pantai di daerah berkenaan.
"Ada peminat anime ini telah menanda dalam peta Google sebagai tugu peringatan kepada watak Kento Nanami. "Jadi, kita berharap kerajaan negeri dapat endorsement daripada penciptanya supaya pantai itu menjadi tarikan terbaru buat peminat anime seluruh dunia," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.
Nama Kuantan tiba-tiba trending di media sosial selepas sebuah episod anime yang dikeluarkan pada bulan lepas ada menyebut nama ibu negeri Pahang itu. Dalam episod ke-42, watak dalam anime itu, Kento Nanami ada menyebut ingin melawat Kuantan di Malaysia atau lokasi tepatnya iaitu pantai di Kuantan sebelum kematiannya. Situasi tersebut turut menyebabkan warga Kuantan berbangga dan ada yang berkongsi keindahan pantai-pantai yang terdapat di ibu negeri Pahang itu di media sosial masing-masing. Sumber - Sinar Harian