Kuantan: Meraih kemenangan pada tiga pusingan dilalui menjadi kelebihan kepada jaguh New Zealand, Kent Jenkinson untuk muncul juara keseluruhan kategori terbuka lelaki antarabangsa dengan mengumpul masa keseluruhan 4 jam 36 minit pada saingan Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023.
Naib johan keseluruhan pendayung adik beradik dari Australia Harry yang mencatat masa keseluruhan 4 jam 8 minit 25 saat dan Charlie Hewitt (4:16:02).
Pada pusingan ketiga sejauh 14 kilogram (km) hari ini yang bermula di Pantai Cempedak melalui Sungai Kuantan dia mencatat masa 1 jam 50 minit 47 saat meninggalkan Harry dan Charlie Hewitt di tempat kedua ketiga. Dalam kategori wanita terbuka antarabangsa juara keseluruhan berpihak pada Peige Wood dari Australia yang mencatat masa keseluruhan 4 jam 32 minit 39 saat diikuti rakan senegaranya, Amanda Bowman (4:36:05) dan Selma Jade Alibegovic (4:39:32). Dalam kategori lelaki kebangsaan seperti diramal jaguh negara yang membawa cabaran Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP), Khairul Naim Zainal dinobatkan juara keseluruhan dengan mencatat masa keseluruhan 4 jam 21 minit 57 saat diikuti naib johan Montoya Raw (4:23:02) dan Mirza Adli Shaharaziz (4:33:06).
Walaupun Khairul Naim menduduki tempat kedua pada pusingan ketiga hari ini dengan 1 jam 57 minit 37 di belakang Montoya namun kemenangan pada pusingan pertama dan kedua menjadi kelebihan kepadanya.
Bagi Jenkinson, dia amat berpuas hati dengan kejayaan muncul juara keseluruhan pertandingan kali ini terutama selepas gagal menyerlah pada edisi pertama tahun lalu.
"Saya akan terus menyertai Pahang Ocean Paddle International Challenge pada masa akan datang sekiranya penganjur menjemput, perlumbaan kali ini menarik walaupun tidak ramai pelumba antarabangsa menyertinya," katanya yang memuji penganjuran pertandingan kali ini.
Sumber - Berita Harian