26 September - 1 Oktober 2023 - IMT-GT EXPO & Gebyar Pesisir Melayu (GMP) 2023 juga dikenali sebagai Ekspo Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) telah diadakan di Habourbay Downtown, Batam, Indonesia bermula 26 September - 1 Oktober 2023.
Penganjuran ekspo ini adalah bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri IMT-GT yang diadakan secara tahunan dan pada tahun ini, Indonesia adalah sebagai tuan rumah di antara tiga negara anggota selain Malaysia dan Thailand.
Kerajaan Negeri Pahang selaku ahli gabungan IMT-GT turut tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan destinasi pelancongan serta membuka peluang dan cabang pelaburan baru merangkumi pelbagai sektor dan kluster pembangunan di Negeri Pahang dengan melibatkan Tourism Pahang, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) serta pengeluar produk berasaskan durian musang king, DSR Sdn Bhd.
Selain Pahang, turut serta dalam Ekspo IMT-GT dan GMP ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kerajaan Negeri Selangor, Kedah, Perlis, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Perak dan Tourism Malaysia. Penyertaan Tourism Pahang dalam IMT-GT buat julung kalinya secara tidak langsung telah membawa nama negeri khususnya dalam memperkenalkan destinasi² pelancongan kepada pasaran negara Republik Indonesia dan Thailand.